Farhash temui ‘hikmah’ dalam lokap


shadow

Di sebalik pengalaman pahit ditahan polis selama lapan hari, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa dia menemui “hikmah” atas apa yang dilaluinya itu.

Katanya, semasa ditahan reman dia dapat menyaksikan sendiri betapa teruknya keadaan dalam lokap dan layanan yang diterima oleh tahanan di situ.

Menceritakan pengalamannya, Farhash berkata dia mengalami dehidrasi (kekurangan air) kerana tidak diberikan minum mencukupi, selain tidak dapat membersihkan diri sekadarnya kerana tidak diberikan sabun atau berus gigi.

Malah, dakwanya, dia turut menyaksikan kegiatan jenayah berlaku meskipun dalam lokap.Iklan

“Satu malam tu, saya ditempatkan di sel komunal (sel yang diduduki ramai tahanan), saya saksikan kegiatan jenayah seperti penyalahgunaan dadah, merokok, malah ada yang guna telefon. Anda boleh buat apa-apa asalkan ada duit (diseludup).

“Untunglah jika boleh tidur, sebab lampu tak pernah dipadamkan dan ada pemeriksaan rawak tengah-tengah malam,” katanya dalam satu kenyataaan hari ini.

Untuk rekod Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas.

Katanya, layanan seperti itu adalah tidak adil dan menganggapnya sebagai taktik untuk membuli.

“Saya boleh fahamlah (layanan seperti itu) jika saya ini penjenayah berat, sebab kerjasama saya ini genting dan penting.

“Sekarang dengan bukti layanan tidak adil ini, saya boleh lihat, semua ini hanyalah taktik membuli saya supaya mengaku pertuduhan yang dibuat berdasarkan khabar angin dan konspirasi,” katanya lagi.

Saya reformis sebenar

Hal itu disuarakannya bersama dengan dakwaan bahawa mungkin wujud penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis dalam penahanannya.

Farhash yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim berkata dia yakin penahanannya dilakukan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap presiden PKR itu.

Dia dibebaskan semalam selepas ditahan reman sejak 16 Julai lalu bagi membantu siasatan kes video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Haziq yang ditahan dua hari sebelum Farhash, turut dibebaskan semalam.

Mengulas lanjut, biarpun dengan apa yang dilaluinya, Farhash berkata dia tidak akan berdiam diri daripada menyuarakan pendapatnya dalam mempertahankan “golongan lemah” dan berjuang untuk mereformasi negara ini.

Katanya, sesiapa yang mengikut perkembangan penyiasatan itu boleh melihat penyimpangan dan ketiadaan fokus dalam kerja-kerja yang dilakukan polis.

“Saya memang senang jadi kambing hitam, sebab perangai saya yang lantang dalam isu-isu ketidakadilan dan mempertahankan yang lemah.

“Saya reformis sebenar, sebab itu saya masuk politik sejak muda lagi, bawah Anwar Ibrahim.

[…] Jangan terpedaya dengan lolongan palsu (a boy who cried wolf), sebaliknya tanya diri anda soalan ini: Adakah Malaysia akhirnya akan melihat perubahan dalam sistemnya?

“Kita rakyat Malaysia berhak untuk mendapat lebih daripada ini. Kita tak layak terbelenggu dengan institusi yang korup,” katanya lagi. 

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda