Exco: ‘Pekeliling’ larang korban di masjid cuma cadangan


shadow

Larangan untuk melaksanakan ibadah korban di dalam kawasan semua masjid dan surau di negeri ini seperti yang tular dalam media sosial beberapa hari lepas adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Tosrin Jarvanthi berkata satu garis panduan pelaksanaan ibadah korban telah diwujudkan bertujuan untuk mematuhi tuntutan agama yang menegaskan kebersihan adalah sebahagian daripada iman dan untuk memelihara imej masjid dan surau agar sentiasa menjadi kawasan yang selesa dan disenangi masyarakat.

“Justeru itu, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor tidak melarang mana-mana korban dibuat di dalam kawasan masjid dan surau di negeri Johor dengan syarat-syarat yang akan kita keluarkan oleh pihak urus setia masjid dan surau melalui pejabat kadi daerah.Iklan

“Setakat ini, sebanyak 2,783 masjid dan surau di Johor dengan purata setiap masjid menguruskan lima ekor haiwan korban dan seekor bagi setiap surau, kesemuanya dianggarkan 6,115 ekor haiwan korban bagi setiap kali musim perayaan Aidiladha,” katanya kepada pemberita di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, hanya 39 masjid dan 17 surau sahaja yang mempunyai tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan korban yang khusus.

Lembu korban, gambar hiasan

Tosrin berkata bagi masjid dan surau yang tidak mempunyai kemudahan tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan korban yang khusus, terdapat beberapa syarat lain yang perlu dipatuhi.

“Sebelum ini timbul, beberapa hari lepas, tular yang menyatakan bahawa kononnya ibadah korban ini tidak lagi dibenarkan di dalam kawasan masjid dan surau di negeri Johor, sebenarnya tidak benar.

“Walaupun ada keluar tular garis panduan mengenainya…ia baru di peringkat cadangan dan kita sedang menyiasat di peringkat dalaman mengenai bagaimana perkara itu (pekeliling tersebut) dikeluarkan di media sosial,” kata beliau.

Semua syarat-syarat yang perlu dipatuhi terkandung dalam Pekeliling Tempat Penyembelihan dan Pengurusan Haiwan Korban yang akan diedarkan menerusi pejabat kadi daerah mulai esok.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Datuk Md Rofiki A Samsudin dan Pengarah Jabatan Veterinar Johor Dr Aida Muhid.

– Bernama

Tinggalkan komen anda