‘Dekriminalisasi akan tingkatkan jumlah penagih dadah’


shadow

Kelantan berpendapat pendirian kerajaan persekutuan yang mahu melaksanakan pendekatan dekriminalisasi terhadap penggunaan dadah berisiko meningkatkan jumlah penagihnya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berpendapat, tindakan itu dilihat sebagai melonggarkan lagi syarat sekali gus bakal menjadi faktor penagihan dadah meningkat.

Menurutnya, ketika penagih dadah yang kini dianggap sebagai jenayah pun sukar dikawal, namun bilangan mereka tetap bertambah walaupun pelbagai program mengatasi penyalahgunaan dadah dilaksanakan.Iklan

“Dalam kita anggap penyalahangunaan dadah sebagai satu jenayah pun kita tidak dapat membendung penagihan dadah, inikan pula mahu melaksanakan decriminalization yang berkemungkinan menyebabkan aktiviti haram itu akan berkembang lebih besar.

“Sebab itu bagi kami undang-undang yang ada sekarang ini perlu dikekalkan dan ada usaha lain perlu dilakukan bagi memulihkan masalah ini,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Dzulkefly Ahmad 

Terdahulu Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan akan meminda undang-undang untuk menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan lagi kesalahan jenayah.

“Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, berbanding mereka yang terlibat dalam mengedar dadah.

“Pengedaran dadah pastinya kekal sebagai kesalahan jenayah,” katanya.

Sementara itu Mohd Amar berkata, apa yang lebih utama juga adalah pencegahan oleh pihak berkuasa dalam membanteras penjualan dan mengedaran dadah di negara ini.

“Kita sendiri pun kalau lihat dalam penguatkuasaan ketika ini, hanya ‘ikan bilis’ yang kena tahan, sedangkan orang besar yang terbabit dengan penjualan dan pengedaran dadah terlepas,” katanya yang juga naib presiden PAS.

Bagaimanapun katanya kerajaan Kelantan sentiasa terbuka melakukan perbincangan sekiranya diminta oleh agensi-agensi berkaitan.

“Tetapi, agensi kerajaan tidak melakukan demikian sehingga menyukarkan kerajaan negeri memberi pandangan berhubung perkara itu.

“Sebab itu apabila ada cadangan pembinaan tembok di sempadan, menteri besar Kelantan menyatakan persetujuan kerana ia satu cara untuk kita atasi pengedaran dadah.

“Ini kerana kita tahu pengedaran dadah ini diperoleh dari negara jiran melalui sempadan,” ujarnya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda