Beri peluang pelajar Orang Asli terima Islam secara sukarela


shadow

Kami ingin menarik perhatian kepada sebuah perbincangan mengenai pendidikan anak masyarakat Orang Asli yang diadakan baru-baru ini.

Ternyata perbincangan itu membangkitkan dan mempersoalkan pendidikan kebangsaan yang dikatakan menarik pelajar untuk memeluk agama Islam.

Seorang panel dari sebuah NGO, Centre for Orang Asli Concerns, Colin Nicholas mendakwa ada guru secara tidak langsung berdakwah kepada pelajar Orang Asli untuk memeluk Islam.

Dia dilaporkan berkata kerajaan telah mengguna pendekatan “integrasi” dan tidak lagi “asimilasi” untuk membawa pelajar Orang Asli ke dalam masyarakat Melayu.Iklan

Dengan itu dia mempersoalkan usaha kerajaan melalui sekolah dan tadika Kemas untuk mendidik mengikut kurikulum dan pendekatan yang ditetapkan.

Kami menolak keras dakwaan bahawa ada pelajar tersebut memeluk agama Islam sebagai melanggar peraturan dan undang-undang serta perlembagaan negara.

Memang benar tidak dibenarkan memaksa seseorang itu memeluk Islam. Namun jika dengan pengajaran dan contoh yang baik oleh guru Islam di sekolah mendidik mereka, kenapa mereka memeluk Islam menjadi isu?

Persoal dasar pendidikan kebangsaan

Panel itu mengungkit bahawa ada guru yang secara tidak langsung menjalankan usaha mengislamkan pelajar.

Akan tetapi pengislaman mengikut peraturan pejabat agama Islam negeri-negeri perlu didaftar dengan rasmi dengan restu ibu bapa. Adakah ada bukti ibu bapa Orang Asli dipaksa anak menganut Islam oleh guru?

Menimbulkan kesangsian ini adalah berniat mempersoalkan dasar pendidikan kebangsaan yang jelas mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kami berpandangan bahawa persepsi negatif terhadap pelajar yang dididik dengan pendidikan Islam secara formal adalah berbaur sikap anti-Islam.

Malaysia yang diiktiraf sebagai negara Islam dan dengan itu menjalankan setiap aspek pembangunan termasuk dalam bidang pendidikan dengan ciri Islam tidak harus dipersoalkan.

Apakah jika pelajar-pelajar itu dipengaruhi untuk menganut agama lain dari Islam seperti Kristian maka itu dianggap boleh dan diterima?

Colin malah mengungkit kes ibu bapa mendapati ada sijil Jawi dan mendakwa mereka tidak mahu anak mengikut kursus berkenaan.

Soalnya apa masalah pelajar itu mendapat sijil jika dia tidak dipaksa untuk belajar mengenai Islam?

Prejudis terhadap Islam

Memang Akta Orang Asli menyebut tidak boleh diwajibkan pelajar Orang Asli belajar apa-apa agama di sekolah tanpa persetujuan ibu bapa.

Tetapi apakah kes tersebut kes paksaan? Jika pelajar sendiri berminat kenapa perlu dihalang?

Dia mendakwa ada guru sekolah yang tidak faham tujuan pendidikan. Seolah dia lebih tahu dan jika tidak selaras dengan kepentingannya, ia dianggap berlawanan dengan tujuan pendidikan.

Seorang lagi panel dilaporkan bernama Suria, menyatakan pengajaran bahasa Arab tidak wajar. Sepatutnya mengajar bahasa ibundanya iaitu Semai harus diajar bukan Bahasa Arab.

Sekali lagi kenapa isu ini harus dibangkitkan sedangkan memang dalam pendidikan Islam, bahasa Arab termasuk kurikulum penting.

Anehnya belajar Bahasa Inggeris tidak dikaitkan dengan menjadi Inggeris, kenapa belajar Bahasa Arab dikaitkan menjadi Arab?

Sebenarnya kami melihat mereka menyimpan prejudis terhadap Islam yang sangat mendalam dalam kalangan panel forum itu.

Pendidikan Islam di sekolah dianggap negatif kerana faham Islam bagi mereka yang sekular adalah agama peribadi, tidak perlu diajar di sekolah.

Kami menggesa pihak Kemas dan sekolah kerajaan meneruskan pendekatan pendidikan menyeluruh dan seimbang dan menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada secara berkesan kepada semua pelajar termasuk pelajar masyarakat Orang Asli.

Kami mengesa masyarakat Orang Asli diberi peluang untuk belajar mengenai agama Islam sebagai agama rasmi negara ini. 

Golongan berpendidikan barat tidak harus cuba menentukan sama ada pendidikan Islam wajar atau tidak diajar sekolah-sekolah kerajaan.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda