Berhujan naik RXZ – ‘Keras hati MB Terengganu’


shadow

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini meredah hujan menunggang motosikal bersama sekumpulan anak muda bagi menghadiri Perhimpunan RXZ Members 3.0 di Terengganu hari ini.

Dalam satu hantaran Facebook oleh jurugambar Hishamuddin Abdullah, Samsuri dapat dilihat menunggang RXZ merah dengan berbaju hujan sambil melemparkan senyuman kepada kamera.

Beliau turut kelihatan melambaikan tangan kepada kamera yang sedang merakam aksinya itu.

“Semangat RXZ membara di jiwa.. Menteri Besar Terengganu bermandi hujan untuk ke Perhimpunan RXZ members 3.0 di Gong Badak, Kuala Terengganu…Terbaik bosss,” tulis Hishamuddin di Facebooknya. 
Iklan

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, yang rata-rata terhibur melihat ahli dewan undangan negeri Rhu Rendang itu menunggang motosikal.

Salah seorang pengguna media sosial yang meninggalkan ulasan memetik skrip filem Gila-Gila Remaja: “Roy, Roy, hati kau keras Roy“.

Program yang berlangsung di Litar Perlumbaan, Komplek Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di Kuala Nerus menghimpunkan ribuan pemilik motosikal jenis itu.

Dalam satu hantaran klip video di Facebook rasmi Samsuri, beliau dilihat merasmikan acara penutup perhimpunan tersebut. 

“Saya menyeru semua anak muda mencari ruang yang sihat dalam masyarakat supaya kita dapat menjaga diri dan bekerjasama dengan rakan-rakan lain sebagai suatu bentuk sokongan kepada rakan-rakan yang menghadapi masalah,” katanya.

Beliau turut kelihatan mengambil bahagian menyaksikan pertunjukan aksi motosikal dan sesi bergambar bersama peserta perhimpunan.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda