PKP : 790 pelajar IPT pulang bagi fasa pertama


shadow

KUALA LUMPUR – Penghantaran pulang bagi fasa pertama membabitkan 790 penuntut institusi pengajian tinggi bermula pukul 10.30 malam, semalam.

Memetik Sinar Harian, sebanyak sembilan pusat pelepasan dibuka bagi menghimpunkan 759 penuntut IPT dan 31 penuntut Politeknik serta Kolej Komuniti di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Antara IPT yang terlibat dalam ‘pilot’ projek ini ialah 89 penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), 150 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 164 penuntut Universiti Malaya (UM), 80 penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dan 146 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ia turut melibatkan 50 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), 49 penuntut Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL) dan masing-masing 31 dari Universiti Sains Islam Malaysia Kuala Lumpur (USIM KL) serta Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kesemua penuntut ini akan meneruskan perjalanan ke Zon Hijau COVID-19 dengan menaiki 50 bas iaitu masing-masing 32 bas ke Kedah, 13 bas ke Pulau Pinang dan lima bas ke Perlis.

Sejurus tiba di pusat pelepasan, pelajar ini akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan perlu melalui proses sanitasi sebelum dan selepas menaiki bas termasuk dua pemandu bas serta pegawai yang mengiringi penuntut berkenaan.

Bukan itu sahaja, 50 bas ini dinyahkuman terlebih dahulu oleh agensi terlibat antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Kejayaan penghantaran pulang pelajar kali ini merupakan hasil kejayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JBPM.

Selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, pada fasa ketiga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sedikit kelonggaran diberi kepada penuntut untuk pulang ke kampung masing-masing.

Tinggalkan komen anda