Herdik jururawat, waris pesakit lebih sudu dari kuah


shadow

Tak habis-habis perangai manusia tidak berhati perut ini, selepas kes ‘demand’ kluster kayangan dan ‘oversea’, muncul pula perangai bongkak dari waris pesakit.

Siapakah yang sakit? Kadang-kadang waris terlebih emosi dan mengada-ngada dari pesakit itu tersendiri bak kata pepatah lebih sudu dari kuah.

Pelbagai ragam dan karenah yang perlu petugas barisan hadapan (frontliner) hadapi ketika menjalankan tanggungjawab mereka.

Baru-baru ini, Ahmad Samhan merupakan seorang doktor berkongsikan kisah berkenaan seorang waris pesakit yang mengherdik seorang jururawat yang bertugas di wad menempatkan bapanya.

Ia susulan kejadian tersebut berlaku di depan matanya sendiri, justeru beliau ingin menceritakan hal ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya bertimbang rasa.

Beliau berkata, dia memperhatikan tingkah-laku waris pesakit ini agak kurang sopan dengan jururawat malah meminta bermacam-macam benda dan ada sahaja perkara tidak kena dimatanya.

Sebaik beliau memperkenalkan diri dan bertanya masalah kepada waris tersebut kemudian secara tiba-tiba dia mengherdik jururawat terbabit dan memperlekeh taraf pendidikannya.

“Nurse itu diam membisu sepatah tak berbunyi. Aku dah tak boleh tahan, jangan kurang ajar boleh tak? Ingat Nurse ini hamba ke? Encik keluar!!

“Aku pun ada tahap sabar juga. Pantang betul kalau kita dah cakap baik-baik tapi masih nak berlagak tunjuk belang.

“Aku tak kisah pun kau siapa. Aku tak kisah kalau kau nak saman. Aku tak kisah nak menjawab dengan orang atasan. Yang aku tahu, kau tak berhak langsung nak menghina,” katanya.

Beliau sangat menghormati jururawat tersebut kerana masih bertahan dengan perangai orang seperti itu, dalam masa sama terkejut sebabkan keadaannya yang sedang mengandung.

Imej mungkin mengandungi: satu atau lebih orang

“Gambar ini aku ambil bila lihat Nurse ini sekejap-kejap muntah. Mengandung rupanya. Dengan muka yang pucat dan keletihan tapi tetap bekerja dengan senyum manis didepan pesakit.

“Luar biasa hebat!,” katanya.

Beliau turut memuji semua jururawat kerana sentiasa bersabar dan profesional dalam melakukan tugasan.

“Mereka ini kalau setakat demam biasa dan lenguh-lenguh badan, selagi larat takkan sesekali ponteng kerja.

“Mereka ini walaupun berjauhan dengan anak dah berbulan, rasa rindu yang teramat tapi tak pernah sekalipun cincai dalam kerja.

“Mereka ini ada yang dah bertahun minta tukar tempat kerja untuk dekat dengan keluarga, walaupun tak pernah dapat tetaplah menunggu dengan sabar dan kadang-kadang lepas bertengkar dengan suami, simpan muka sedih namun tetap datang kerja macam biasa dan ukirkan senyuman manis,” katanya.

Tambahnya, jururawat juga manusia biasa tidak lari dari masalah. Oleh itu, kita patut menghormati mereka, jangan sesekali bersikap kasar apatah lagi mengherdik.

Hormati dan belajar menghargai orang lain sebelum mengeluarkan kata-kata, fikirkan dahulu. Cuba mengawal kemarahan demi keharmonian bersama.

Tinggalkan komen anda