Berita palsu : Ahli parlimen Kuantan didakwa esok


shadow

Ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh akan didakwa di mahkamah Sesyen Johor Bahru esok berhubung kes penyebaran berita palsu.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu telah memuat naik satu rakaman video di Facebooknya yang memaparkan orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) Johor Bahru sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai.

Namun, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud telah menjelaskan bahawa video berkenaan sebenarnya latihan kebakaran yang dijalankan di CIQ pada 18 Disember 2018.

Difahamkan, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman akan membuat pertuduhan itu pada jam 8.30 pagi esok.

Pada 12 April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dilaporkan berkata polis merakam keterangan Fuziah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan masing-masing kerana fitnah dan mendatangkan khianat awam.

Fuziah turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Tinggalkan komen anda