Remaja minta izin nikah dinoda bapa enam kali


shadow

Malang nasib seorang remaja perempuan di daerah Tuban, Indonesia apabila diperkosa ayah kandungnya enam kali selepas minta izin untuk berkahwin dengan kekasihnya.

Portal Kompas melaporkan perbuatan terkutuk suspek berusia 43 tahun itu bagaimanapun terbongkar dan akhirnya ditangkap polis selepas jirannya membuat laporan dan menyerahkan rakaman video sebagai bukti.

Ketua Polis Daerah Tuban Ruruh Wicaksono berkata, suspek melakukan perbuatan itu di rumah dan segalanya bermula selepas mangsa yang berusia 17 tahun bertemu dengannya bagi meluahkan hasrat untuk berumah tangga.

“Suspek pertama kali melakukan perbuatan itu ketika mangsa tidur bersama adik di ruang tamu.

“Suspek kemudiannya mengulangi perbuatannya sebanyak enam kali dan ia dilakukan ketika rumah dalam keadaan sunyi.

“Siasatan dijalankan mendapati suspek mengaku melakukannya kerana tidak dapat menahan nafsu sejak isteri keduanya meninggal pada 2015,” katanya.

Menurut Ruruh, suspek mengugut mangsa supaya menurut kemahuannya malah sanggup berjanji membelikan pakaian baru sebagai habuan.

“Namun, sehingga kini, suspek tidak mengotakan janjinya,” katanya.

Difahamkan, mangsa dibesarkan dan tinggal bersama neneknya di Senori, Tuban sejak ibu kandungnya meninggal pada 2003.

Suspek dilaporkan berkahwin lagi 12 tahun kemudian dan mempunyai dua anak iaitu seorang lelaki serta perempuan hasil perkahwinannya itu.-Metro

Tinggalkan komen anda