Wanita, adik didakwa bunuh suami buta


shadow

Seorang wanita dan adik lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya yang buta, di Kampung Baru Sungai Chua di sini, awal bulan lalu.

Pengusaha sebuah kedai makan G S Angela Dewi, 45, dan adiknya GS Vijaya, 42, yang merupakan pembantu kedai makan, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat secara bersama dengan sengaja membunuh R Devarajoo, 59, di sebuah rumah di Lorong Jati 1, Rumah Murah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua di sini, antara pukul 12 hingga 1 tengah hari, pada 1 Okt lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon tarikh sebutan, bagi menyerahkan dokumen dan laporan berkaitan kes, selain tidak menawarkan jaminan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, tidak diikat jamin dan menetapkan 21 Dis untuk sebutan semula kes.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan media semalam berkata, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala akibat dipukul menggunakan tukul dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari pada 1 Okt lepas.

Katanya, mangsa kemudian dimasukkan ke Hospital Kajang dan meninggal dunia pada 10 Okt lalu.

Zaid berkata, pengadu, iaitu isterinya sendiri membuat laporan polis kononnya suaminya disamun semasa berada di hadapan rumah mereka di kampung itu dan rantai leher emas milik mangsa dilarikan.

“Hasil siasatan lanjut polis mendapati, isteri kepada mangsa disyaki merancang dan membunuh mangsa bersama dengan adik lelakinya untuk mendapatkan harta mangsa,” kata Zaid.

Difahamkan, mangsa dan isterinya berkahwin selama 13 tahun dan mangsa merupakan pengusaha perniagaan lori serta besi buruk, yang membabitkan aliran tunai perniagaan lebih RM2 juta.-FMT

Tinggalkan komen anda