10 berparti liar ditahan


shadow

Polis menyerbu sebuah kediaman di Ara Damansara, di sini dan menahan 10 individu, termasuk dua wanita tempatan serta warga asing yang mengadakan parti liar.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata polis menyerbu rumah itu jam 9.50 malam tadi hasil maklumat awam.

“Dalam serbuan itu, kami menahan 10 individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita tempatan serta tiga warga asing berusia antara 27 hingga 45 tahun yang dipercayai menyertai parti liar berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui satu permaidani bertulisan ‘Texas Holdem’ yang tercatat angka 1 hingga 10 dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya menemui satu tiub penyedut minuman yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram serta beberapa barang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian termasuk dadu dan cip pelbagai warna.

“Kami turut menemui empat botol plastik mengandungi cecair disyaki jus berisi dadah seberat 1,520mm yang disimpan di dalam almari rumah berkenaan.

“Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methaphetamin, amphetamin dan ketamin.

“Sebahagian daripada suspek berkenaan mengaku terbabit dengan penyalahgunaan dadah kira-kira setahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek berkenaan yang tidak mempunyai rekod jenayah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Mereka (suspek) turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa,” katanya.-BH

Tinggalkan komen anda