Sindiket judi dalam talian tumpas


shadow

Satu sindiket judi dalam talian tumpas selepas polis menyerbu sebuah unit kondominium di Jalan Putra Prima Utama, Puchong yang dijadikan pusat panggilan, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 20 hingga 42 tahun ditahan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor, berkata pihaknya merampas enam komputer riba, 14 telefon bimbit, 10 kad sim dan wang tunai RM4,070 bagi membantu siasatan.

“Sindiket itu menggunakan laman web 918Kiss, Mega888, Joker, Xe88, Great Wall dan LeoCity bagi menjalankan aktiviti perjudian.

“Unit kondominium itu pula disewa RM1,500 sebulan. Pekerja dibayar gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Keuntungan harian aktiviti itu antara RM1,000 hingga RM2,000. Aktiviti judi itu aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, kesemua tahanan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 4 (1) (c) ARJT 1953, Seksyen 4 (1) (e) ARJT 1954 dan Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Tinggalkan komen anda