Isteri tegur suami kena libas parang


shadow

Seorang wanita cedera di dahi dan kedua-dua tangannya selepas ditetak dengan parang oleh suaminya dipercayai kerana menegur suspek tidak pergi kerja dalam kejadian di bilik sewa mereka di Kampung Sinulihan, Inanam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.28 malam itu, mangsa berusia 31 tahun dikatakan menegur suaminya kerana tidak pergi kerja selama empat hari dan melarang suspek terbabit dalam pengambilan dadah syabu.

Berikutan itu, suspek tidak puas hati dan menuduh mangsa memberitahu hal berkenaan kepada jiran lalu berlaku pertengkaran sebelum menetak isterinya dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata isteri suspek cuba menahan tetakan suaminya dengan tangan menyebabkan kecederaan

“Suspek kemudian melibas parang lagi ke arah mangsa dan terkena pada bahagian dahinya.

“Kejadian itu disedari oleh jiran mereka dan meleraikan pergaduhan itu sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, sepasukan polis yang tiba sebaik menerima maklumat menahan suspek dan merampas parang daripadanya.

“Mangsa yang luka dan berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut. Mangsa menerima beberapa jahitan di tangan kanan dan kiri.

“Suspek berusia 37 tahun yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Tinggalkan komen anda