Individu didakwa menyamar dalam video tular, disahkan kakitangan KKM – Polis


shadow

Orang ramai digesa menghentikan penyebaran video mendakwa individu menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan membuat pemeriksaan di kawasan Bukit Subang, di sini, yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata pihaknya sudah menerima laporan mengenai perkara itu, semalam.

“Polis telah menjalankan siasatan dan mendapati ia adalah salah faham antara pengadu dengan pihak yang hadir di lokasi rumah pengadu.

“Nombor pendaftaran kenderaan yang ditularkan juga adalah salah dan tidak tepat sehingga wujud kenderaan yang lain.

“Tiga individu yang ditular itu disahkan kakitangan KKM dan kenderaan terbabit juga adalah milik KKM di daerah Petaling,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, beliau berkata, KKM sudah membuat laporan polis, hari ini, sekali gus mengesahkan kehadiran pegawai KKM di lokasi terbabit bagi pemantauan pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19, kira-kira jam 2.00 petang semalam.

Justeru, katanya, polis berharap semua pihak menghentikan sebarang penyebaran gambar dan tular berkaitan perkara itu.

Tinggalkan komen anda