Cemas gigi palsu terlekat dodol tersangkut di kerongkong


shadow

Seorang warga emas menempuh detik cemas apabila mengalami kesesakan nafas selepas tercekik dodol yang melekat bersama gigi palsu, ketika makan di rumahnya dekat Perumahan Genuang di sini, pagi tadi.

Pesara, Abdul Moin Mohd Salleh, 63, bernasib baik kerana kejadian itu disedari isterinya, Faridah Mohd Zulkifli, 60, selepas mendapati suaminya sesak nafas ketika mereka berdua menikmati dodol berkenaan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Faridah berkata, menyedari kesulitan dialami suaminya, beliau segera bergegas membantu dengan menepuk tengah belakang badan suaminya berulang kali.

“Dodol itu melekat pada gigi palsu yang tertanggal ketika suami menelannya sebelum kedua-duanya tersangkut di bahagian kerongkong.

“Selepas saya berusaha menepuk bahagian belakangnya beberapa kali, suami kemudian tersedak menyebabkan dodol bersama gigi palsu bahagian atas itu tercampak keluar dari mulut,” katanya.

Faridah berkata, kejadian itu melegakan suaminya dan merasakan tidak perlu ke klinik bagi menjalani pemeriksaan.

Katanya, dodol itu dibeli beberapa hari menjelang Aidilfitri dan beliau memotongnya berukuran kecil ketika dimakan bersama suami.

“Saya sudah nasihat (suami) agar membuka dahulu gigi palsunya itu yang sudah longgar sebelum makan dodol itu tetapi dia tidak mengendahkannya,” katanya.

Beliau berkata, suaminya sebelum ini memang bercadang membaiki atau menggantikan gigi palsu yang tidak sesuai itu, namun kerap menangguhkannya.

Tinggalkan komen anda