Anak bunuh bapa kandung


shadow

Seorang lelaki yang dikatakan sering dimarahi dan dimaki oleh bapa kandung akhirnya gagal mengawal diri apabila bertindak membunuh bapanya di Kampung Ulu Taburi, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa Talasai Kuyoh, 62, ditemui mati dengan kesan tikaman di tangan dan dagu serta kecederaan akibat dipukul di kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata kejadian bunuh itu berlaku di kawasan kebun sawit di hadapan rumah mangsa.

Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, suspek yang juga anak lelaki mangsa berusia 30 tahun diarahkan melakukan beberapa tugasan termasuk membeli batu jalan untuk digunakan di kebun mereka.

“Sebaik selesai melakukan tugasan yang diarahkan, suspek dikatakan terus balik ke rumah dan memasak untuk bapanya.

“Namun ketika sedang memasak, mangsa yang sedang minum minuman keras memanggil suspek ke bawah rumah dan berlaku perselisihan faham antara mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, mangsa kemudian mengambil parang dan terus melibas ke arah suspek sehingga memaksa anaknya melarikan diri ke arah lori di hadapan rumah.

Katanya, suspek kemudian mengambil besi pengangkat sawit yang berada di dalam lori berkenaan dipercayai untuk mempertahankan diri.

“Namun, si mati terus mengejar suspek sambil melibas parang dan suspek pula cuba mengelak sambil menghayunkan besi pengangkut sawit sehingga terkena kepala dan beberapa bahagian badan mangsa.

“Akibat beberapa kali dipukul, mangsa akhirnya terjatuh ke arah kawasan bawah bukit manakala suspek terus melarikan diri ke rumah ibu saudara isterinya untuk menceritakan kejadian itu.

“Pada jam 2 petang, suspek kemudiannya ditahan ketua kampung dan beberapa penduduk sebelum diserahkan kepada polis di Balai Polis Tungku,” katanya.

Nasri berkata, siasatan mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada perselisihan faham di antara dua beranak itu dan bapanya juga sering memarahi dan memaki suspek apabila mabuk.

Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh dan siasatan masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan senjata yang digunakan dalam insiden berkenaan sudah diperoleh.

Tinggalkan komen anda