Lebih 1,000 warga asing ditangkap ketika masuk ke negara ditahan di pusat Imigresen


shadow

Semua 1,408 individu yang ditangkap ketika cuba melepasi sempadan negara melalui ‘jalan tikus’ sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dibawa ke pusat tahanan Imigresen, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, mereka telah pun melepasi sempadan dan justeru tertakluk kepada undang-undang imigresen negara.

“Jabatan Imegresen Malaysia ada dua prosedur. Mereka yang belum sempat masuk ke sempadan, kita akan usir keluar. Kita sudah dengar beberapa bot milik Rohingya, misalnya. Mereka belum sempat masuk kita sudah usir keluar.

“Walaupun ramai yang marah kerana kita dianggap kejam…sebenarnya kita tak kejam. Kita beri makanan lagi untuk mereka…Itu yang belum masuk sempadan kita,” katanya dalam sidang media harian perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Ismail merujuk tindakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 16 April lalu dalam mematahkan cubaan sejumlah 200 orang etnik Rohingya untuk berlabuh di Langkawi.

Menurut TUDM, bot itu dikesan di kedudukan 70 batu nautika (129.6km) di bahagian barat pulau tersebut.

Pada hari sama, Reuters melaporkan tidak kurang 20 orang Rohingya meninggal dunia ketika hanyut selama beberapa minggu selepas gagal menuju ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Ismail berkata bagi mereka yang telah melepasi sempadan negara pula, mereka ditempatkan di pusat tahanan Imigresen sebelum didakwa di mahkamah.

“Mereka yang sudah masuk ke sempadan negara, kita tak boleh usir mereka lagi. Ini kerana mengikut undang-undang antarabangsa, pendatang tanpa izin ini mesti dibawa ke darat jika mereka ditemui di laut dan prosedurnya adalah mereka akan ditahan di pusat tahanan dulu.

“Kemudian mereka akan dibicara di mahkamah, apabila mahkamah menjatuhkan hukuman…Selepas tamat tempoh hukuman kita akan hantar mereka balik,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda