POLIS membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan kes pegawai polis merogol dua wanita warga Mongolia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pegawai polis yang disyaki merogol dua wanita terbabit telah direman selama lima hari.
Beliau berkata dua kertas siasatan dibuka atas kesalahan rogol serta di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
“Apabila kami siasat di bawah Atipsom, mereka ialah mangsa… sama ada mangsa melakukan seks secara sukarela atau tidak, itu juga disiasat polis,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang anggota polis berpangkat Inspektor ditahan selepas disyaki merogol dua wanita Mongolia di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Ahad lepas.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menyelamatkan mangsa, yang masing-masing berusia 20 dan 37 tahun, di hotel berkenaan. – Bernama
Tinggalkan komen anda