KUALA LUMPUR – Pemergian penyanyi lagu Januari, Glenn Fredly di sebuah hospital di Jakarta, kira-kira jam 6 petang waktu tempatan (jam 7 malam waktu Malaysia) tadi, mengejutkan ramai teman seperjuangan.
Mengikut laporan terbaru agensi, penyanyi kelahiran Kepulauan Maluku itu dikatakan meninggal dunia akibat meningitis atau radang selaput otak, namun, punca sebenar kematian belum disahkan.
Bekas isteri kepada penyanyi Ahmad Dhani, Maia Estianty menyifatkan pemergian penyanyi berusia 44 itu sebagai berita mengejutkan kepada industri muzik Indonesia.
Maia berkata, mereka kehilangan seniman yang menghasilkan karya indah.
Luahan itu dibuat ibu kepada tiga cahaya mata itu melalui Instagram. Maia turut memuat naik sekeping foto Glenn ketika menghiburkan penonton di sebuah konsert.
“Kami pencinta muzik Indonesia, kehilanganmu. Karyamu indahmu, suara emasmu dan kenangan-kenanganmu.
“Semoga perjalananmu pulang ke rumah Allah menjadi dunia yang menyenangkan untuk kamu… Bertemu dengan Sang Maha Cinta,” katanya.
Maia turut berdoa agar isteri Glenn, anak dan keluarganya tabah, kuat dan sabar menghadapi ujian berat itu.
Glenn dilaporkan meninggal dunia di Jakarta, petang tadi, waktu tempatan.
Memetik laporan KOMPAS.com, berita sedih itu dimaklumkan rakan seperjuangan Glenn, Tompi.
Dalam laporan lain, agensi menyebut, Glenn menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Setia Mitra jam 6 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).
SUMBER – BERITA HARIAN/AGENSI
Tinggalkan komen anda