KUALA LUMPUR – Petugas barisan hadapan (Frontliner) di Makmal Diagnostik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) sebak dan merayu rakyat duduk di rumah sewaktu bersiaran langsung dalam program berita AWANI 7:45.
Kenapakah segelintir rakyat Malaysia terlalu pentingkan diri melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)? Langsung tidak mempedulikan perasaan mereka yang bertungkus-lumus tanpa mengira masa dan tenaga merawat pesakit-pesakit COVID-19.
Menurut, Juruteknologi makmal perubatan HUKM, Noor Hamiza Gulam berkata, semua kakitangan berkorban jiwa dan masa untuk bersama keluarga demi rakyat Malaysia.
“Tolong ikut arahan kerajaan. Jangan keluar, penjarakan sosial itu sangat penting sebab itulah kita terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan.
“Jadi anda semua, tolonglah kami. Kita jaga kita, duduk di rumah, dan kita lawan COVID-19,” katanya ketika ditemubual oleh Astro Awani di sini, semalam.
Beliau turut tidak dapat menahan kesedihan, menitiskan air mata apabila mengenang nasib yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga.

Malah, petugas perlu memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE), tebal dan berlapis-lapis yang membuatkan seseorang tidak selesa dan berpeluh bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
Justeru, usaha yang dilakukan pihak Astro Awani harus dipuji kerana ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat tentang keadaan sebenar. Penonton dapat melihat emosi dan situasi yang mereka hadapi setiap hari ditempat kerja, sejak menularnya wabak koronavirus di negara ini.
Hargailah pengorbanan mereka. Balas jasa mereka dengan mematuhi PKP. Duduk di rumah. Luangkan masa bersama keluarga anda.
Tinggalkan komen anda