COVID-19 : Sedar koma, kulit dua doktor berubah warna


shadow

Setelah sedar dari koma akibat jangkitan COVID-19, dua doktor China terkejut kulit mereka telah berubah warna menjadi gelap.

Dr Yi Fan dan Dr Hu Weifeng, masing-masing berusia 42, dijangkiti Covid-19 ketika merawat pesakit di Wuhan Central Hospital pada bulan Januari.

Difahamkan, mereka berdua bekerja bersama pemberi maklumat, Li Wenliang, yang dihukum kerana cuba mendedahkan virus ini dengan membunyikan penggera dan kemudian telah meninggal dunia akibat penyakit itu pada 7 Februari.

Memetik Metro.co.uk, kedua-dua mereka dilaporkan memerlukan alat bantuan sokongan namun mereka terselamat.

Punca perubahan warna kulit adalah kerana ketidakseimbangan hormon yang terjadi ketika hati doktor berkenaan rosak disebabkan virus itu, lapor media pemerintah China.

Kedua-dua doktor itu didiagnosis pada 18 Januari dan dibawa ke Wuhan Pulmonary Hospital, kemudian dipindahkan dua kali. Dr Yi, seorang pakar kardiologi, telah menggunakan alat bantuan hidup iaitu ECMO selama 39 hari.

ECMO adalah prosedur alat sokongan hidup drastik yang menggantikan fungsi jantung dan paru-paru.

Manakala, keadaan ahli urologi Dr. Hu lebih kritikal, terlantar selama 99 hari.

Dr Li Shusheng yang bertanggungjawab merawat mereka berkata, kulit kedua doktor itu menjadi gelap kerana sejenis ubat yang mereka berikan semasa peringkat awal rawatan.

“Ia salah satu kesan sampingan ubat adalah kegelapan warna kulit.

“Warna kulit kedua-dua doktor itu akan kembali normal setelah hati mereka mulai berfungsi dengan baik.” katanya.

Sementara itu, Dr Yi memberitahu bahawa dia sering mengalami mimpi buruk kerana keadaannya yang dijangkiti penyakit berbahaya ini.

Dr Hu pula sedang menerima rawatan intensif, dan masih dipantau di unit rawatan rapi

Tinggalkan komen anda