Enam gejala COVID-19 yang baharu disenaraikan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat(CDCAS).
Memetik Agensi, gejalanya adalah menggigil; getaran tubuh secara berulang serentak dengan menggigil; sakit otot; sakit kepala; sakit tekak dan kehilangan deria rasa atau bau. Simptom itu biasanya dikesan dua hingga 14 hari setelah pesakit terdedah kepada virus berkenaan.
Sebelum ini, CDC hanya menyenaraikan tiga gejala yang diketahui iaitu sesak nafas, batuk dan demam.
Bekas pemangku Pengarah Jabatan Pandemik dan Ancaman AS, Mario Ramirez memberitahu Washington Post, gejala sesuatu penyakit termasuk COVID-19 dan influenza biasa, boleh berubah seiring perubahan masa.
Beliau berkata, berdasarkan data dan maklumat daripada rawatan pesakit tempatan dan seluruh dunia, CDC dengan yakin mengatakan enam gejala terbabit adalah simptom COVID-19.
Ramirez, berkata, trend mengenai gejala tempatan dan data dari negara lain membolehkan CDC mengenal pasti atau menyenarai pendek segmen populasi yang tepat untuk diuji.
“Kita tidak mahu menyenaraikan dua puluh gejala, terutama jika separuh penduduk mempunyai gejala tersebut dan akan cuba menyeimbangkan sasaran orang yang tepat untuk diuji, jadi ia mesti spesifik,” katanya.
Kesan gejala tersebut mengesahkan maklumat yang dilaporkan oleh pesakit dan doktor selama beberapa minggu sebelum ini.
Justeru itu, satu kajian terhadap pesakit COVID-19 di Eropah turut mendapati antara 85.6 hingga 88 peratus pesakit mengalami gejala hilang deria rasa dan bau.
Sementara itu satu kajian di Iran, 76 peratus pesakit COVID-19 yang melaporkan kehilangan bau memberitahu ia berlaku secara tiba-tiba sebelum gejala lain muncul.
Walaupun tidak disenaraikan di laman web CDC, turut dilaporkan keletihan melampau dialami oleh pesakit sebelum mereka disahkan positif COVID-19.
Oleh itu, gejala seperti kehilangan rasa atau bau yang telah dilaporkan oleh sekumpulan doktor telinga, hidung dan tekak Britain pada pertengahan Mac lalu, mungkin tanda awal seseorang dijangkiti COVID-19.
Tinggalkan komen anda