Beri alasan PKP, kaki seorang pesakit berbau, berulat


shadow

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat perlu berada di rumah dan tidak dibenarkan keluar namun sekiranya mempunyai penyakit kronik atau mengalami luka atau kecederaan teruk harus rujuk ke klinik atau hospital berhampiran.

Anak-anak harus mainkan peranan jika ibu bapa di kampung atau jauh disaran untuk menelefon atau meminta saudara-mara terdekat bagi menjenguk ibu bapa mereka sebentar terutama ibu bapa yang sudah tua dan lebih-lebih lagi mempunyai penyakit kronik agar perkara yang tidak diingini berlaku.

Satu kes dikongsikan oleh Dr. Ahmad Samhan di laman sosial Facebooknya tentang seorang pesakit yang datang ke hospital dalam keadaan kaki yang berulat kerana penyakit kencing manis.

“Dah kenapa sampai berulat begini baru datang?, Dr. Samhan menanyakan kepada pesakit tersebut.

“Sekarang kan musim PKP,tak boleh keluar rumah. Ingat luka biasa. Ubat pun habis”, jawab pesakit berkenaan.

Menurut Dr. Samhan, ketika membuka balutan, satu persatu ulat jatuh ke lantai dan sangat berbau.

“Ya Allah, terus rasa sesak nafas. Bila dibuka pembalut, satu persatu ulat jatuh ke lantai. Gemuk-gemuk ulat ini. Kenyang barangkali makan daging kaki. Tergedik-gedik ulat mengorek isi daging.

“Bau toksah cerita. Dah pakai topeng muka masih kuat bau menusuk. Sampai ke tekak terasa menusuk. Fuh!,” katanya.

“Pada mulanya, luka kecil di tumit sebab tersepak bucu katil. Lama kelamaan makin melarat. Maklumlah gula dalam badan pun tak terkawal. Lagi susah nak baik,” kata pesakit tersebut.

“Tak rasa sakit ke? Memang tak rasa. Kencing manis menyebabkan hilang deria rasa. Pakai kasut terbalik pun tak perasan. Sungguh!,” ujarnya.

Beliau yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) menasihati orang ramai untuk memastikan bekalan ubat mencukupi dan makan ubat seperti yang di nasihatkan doktor.

Selain itu, sebaiknya ada mesin periksa kandungan gula (glucometer) dan pastikan kandungan gula dalam 4-6mmol/l ketika berpuasa dan <8mmol/l (jika makan).

Jika luka,pastikan jaga kebersihan kaki dan cuci luka setiap hari, tak perlu ambil ubat kampung, air akar kayu dan supplemen yang tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Yang paling penting, anak-anak harus bertanya khabar ibu bapa di kampung dan pesan pada waris terdekat tolong jenguk-jengukkan. Pesan selalu makan ubat,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda