623 kes baharu COVID-19 di Singapura termasuk 11 rakyat Malaysia


shadow

Seramai 11 orang rakyat Malaysia menjadi antara 623 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Singapura dengan satu kes berkaitan dengan kluster terbesar di republik itu, asrama pekerja asing S11 @ Punggol, semalam.

Merujuk kepada data lengkap yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura, pemegang Permit Kerja Singapura berusia 50 tahun merupakan warganegara Malaysia kedua yang berkait dengan asrama sama menjadikan rekod keseluruhan kepada 1,123 kes positif.

Kes baharu turut melibatkan seorang wanita Malaysia daripada sektor penjagaan kesihatan awam iaitu seorang jururawat berusia 34 tahun di Bright Vision Hospital dan seorang lelaki Malaysia berumur 58 tahun, pemegang Permit Kerja yang berkait dengan kes 3,306 yang dilaporkan sebelum ini, iaitu seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun.

Tambahan tiga lagi rakyat Malaysia yang tersenarai bersama tujuh rakan mereka yang telah dikenal pasti berkait dengan kluster di sebuah asrama di Jalan Kubor.

Namun, lima rakyat Malaysia yang lain masih diklasifikasi sebagai kes tempatan yang tidak mempunyai kaitan.

Lebih kurang 10 rakyat Malaysia dikaitkan dengan enam kluster lain termasuk dua asrama, iaitu di Tech Park Crescent and Tampines, Mustafa Centre, SingPost, SAFRA Jurong, Project Glory dan sebuah premis makanan segera.

Tinggalkan komen anda