BUKIT MERTAJAM – Seramai 148 orang terpaksa dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka lewat malam tadi disebabkan rumah di beberapa lokasi rendah dinaiki air sehingga 0.5 meter akibat hujan lebat berlarutan di kawasan Juru, di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata, PPS pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Juru dibuka pada pukul 11 malam yang menempatkan sembilan keluarga.
“Mereka yang dipindahkan di situ terdiri daripada 33 orang termasuk dua bayi masing-masing lelaki dan perempuan.
“Pemindahan semua mangsa banjir diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beliau berkata, PPS kedua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light di Perkampungan Juru pula dibuka pada 11.45 malam.
“Seramai 115 orang daripada 27 keluarga termasuk dua ibu mengandung ditempatkan di situ.
Sementara itu, petugas turut mengambil suhu badan mangsa bagi memastikan mereka tidak mengalami demam dan setakat ini mangsa yang dipindahkan ke PPS tersebut dalam keadaan sihat selain diletakkan mengikut penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Semalam, hujan lebat lebih dua jam di Pulau Pinang yang bermula pukul 3 petang telah menyebabkan kawasan di Kepala Batas, Permatang Buluh, Lahar Yooi, Nyior Sebatang, Sungai Dua, Machang Bubok, Tasek Gelugor, Simpang Ampat, Bagan Ajam dan Merbau Kudung dinaiki air antara 0.1 hingga 0.5 meter dan beberapa buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut mengalami kerosakan akibat ribut.
Ketika ini cuaca di kawasan Mertajam dan Juru dalam keadaan baik dan banjir telah surut.
Tinggalkan komen anda