COVID-19 :Wad Paediatrik Hospital Selayang (HS) ditutup sementara


shadow

KUALA LUMPUR – Wad Paediatrik Hospital Selayang (HS) ditutup sementara untuk kerja pembersihan selepas dua kakitangan Jabatan Paediatrik hospital berkenaan disahkan positif COVID-19, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, yang dihubungi BH hari ini memaklumkan penutupan sementara itu dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan menyahkuman.

“Kita tutup sementara sahaja, sebaik kerja pembersihan dan menyahkuman selesai, wad berkenaan akan dibuka semula.

“Jangka masa pembersihan bergantung kepada keluasan wad Paediatrik itu sendiri, tetapi kita jangka tidak lama sebelum wad itu dibuka semula seperti biasa nanti,” katanya.

Hari ini, BH menerima satu salinan surat edaran berhubung pemakluman penutupan sementara wad Paediatrik HS.

Menurut surat berkenaan, Jabatan Paediatrik HS terpaksa menutup semua wad Paediatrik dan tidak akan menerima sebarang rujukan serta kemasukan pesakit baharu ke semua wad buat sementara waktu.

“Pesakit sedia ada juga tidak dibenarkan pulang sehingga siasatan pihak hospital selesai,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan, memaklumkan seramai 12 petugas kesihatan kementerian itu dan tiga petugas daripada sektor kesihatan swasta dijangkiti virus COVID-19.

Seorang daripada 12 kakitangan KKM itu kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Sumber: Berita Harian

Tinggalkan komen anda