ATM dikerah jika rakyat masih berdegil, jangkitan COVID-19 meningkat


shadow

Rakyat masih berdegil mematuhi perintah kawalan pergerakan, Khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mungkin digunakan bagi mengawal keadaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut terpaksa dilakukan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 sebaik mungkin.

“Kerajaan akui melaksanakan arahan kawalan pergerakan di kawasan kampung agak sukar kerana kekurangan pemantauan daripada pihak berkuasa kecuali bantuan daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Jika pematuhan masih di peringkat 60 peratus, kerajaan mungkin memerlukan khidmat pasukan ATM,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan pihak polis telah mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara pada hari pertama perintah tersebut dijalankan untuk memastikan rakyat mematuhi peraturan tersebut.

“Sebanyak 504 sekatan jalan raya telah dilaksana dan 6,135 kenderaan diperiksa, semalam,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengumumkan bahawa setakat hari ini, jumlah jangkitan COVID-19 meningkat kepada 900 orang.

“Berdasarkan siasatan awal, 110 kes baru dilaporkan ini, sebanyak 63 kes adalah kaitan dari kluster perhimpunan di masjid Sri Petaling dan 20 orang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Tinggalkan komen anda