Pencuci pinggan mengaku tidak bersalah tikam anak jiran



SUNGAI PETANI: Pencuci pinggan kedai makan dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang kanak-kanak dengan menggunakan sebilah pisau, pada 12 Januari lalu.

Tertuduh, Mohamad Nor Akmar Jamalludin, 27, bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Najwa Che Mat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan Nur Adawiyah Safiyya Zulkefeli, 5, pada jam 2.30 petang di Kampung Keda Che Bema, Sungai Layar, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh penjara sehingga 20 tahun, sebat dan juga denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordiyanasari Omar.

Wang jaminan dikenakan sebanyak RM30,000, bagaimanapun tertuduh memohon dikurangkan berikutan terpaksa menanggung isteri dan ibu yang menghidap penyakit diabetes dan darah tinggi.

Hakim menetapkan ikat jamin RM18,000 dan kes disebut semula pada 18 Februari depan.

Media sebelum ini melaporkan, tertuduh menikam mangsa yang juga anak jirannya ketika kanak-kanak terbabit sedang tidur di ruang tamu.

Akibatnya, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan serius sedalam empat sentimeter di perut sebelah kiri sehingga menampakkan usus.

Tinggalkan komen anda