JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengarah dan pengarah eksekutif syarikat penyelenggaraan projek jalan kampung, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas sembilan pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM2.82 juta, dua tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Mohamed Zaini Amran, 64, yang juga bekas Pengarah Syarikat Infra Desa Johor (IDJ) Sdn Bhd dan Pengarah Eksekutif IDJ, Jamalullail Md Sapie, 47, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.
Mohamed Zaini turut berdepan sembilan lagi pertuduhan berasingan membabitkan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM2.82 juta.
Bagi pertuduhan pertama hingga kesembilan, Mohamed Zaini dan Jamalullail dituduh secara bersama-sama dengan curangnya menyalahgunakan keseluruhan wang berjumlah RM2.82 juta dengan memindahkannya daripada akaun bank IDJ ke akaun bank lima syarikat lain.
Kesalahan berkenaan dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah bank di Taman Perling di sini, pada 11 dan 13 April 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.
Sementara itu, Mohamed Zaini turut dituduh dengan sembilan pertuduhan lain kerana menggunakan harta milik syarikat iaitu cek IDJ dengan memindahkan cek berkenaan daripada akaun bank IDJ ke akaun bank milik lima syarikat lain dengan nilai RM2.82 juta, tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat untuk keuntungan dirinya sendiri dan mana-mana orang lain.
Kesalahan itu dilakukannya di sebuah bank sama dan tarikh sama.
Susulan itu, Mohamed Zaini didakwa mengikut Seksyen 218(1) (a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Mukhzany Fariz Mokhtar.
Mohamed Zaini diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim, manakala Jamilullail diwakili peguam Sukhaimi Mashud.
Mahkamah kemudian memerintahkan Mohamed Zaini dikenakan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin terhadap 18 pertuduhan dihadapinya, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah, manakala Jamilullail dikenakan RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap sembilan pertuduhan dihadapinya dengan pasportnya turut diserah kepada mahkamah.
Faiz menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan kedua-dua kes dan membenarkan dua tertuduh tiada halangan ke luar negara walaupun pasport diserah kepada mahkamah.
Syarikat IDJ bertanggungjawab menyelenggara projek jalan kampung di Johor dengan kerajaan negeri dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) adalah pemegang saham 40 peratus dalam syarikat berkenaan.
Tindakan pecah amanah dilakukan kedua-dua tertuduh menyebabkan Kerajaan Johor dan KPRJ mendakwa mengalami kerugian.
Tinggalkan komen anda