Ibu 4 anak antara ditahan positif dadah


shadow

SEORANG ibu antara 14 individu yang ditahan positif dadah dalam Op Cegah yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda, Kedah, semalam. 

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata wanita berumur 32 tahun dan mempunyai empat anak berusia 5 hingga 10 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Kilang Ketapan, Gurun petang semalam.

“Ketika ditahan, wanita itu berada seorang diri di rumah, dia dikatakan menghisap syabu pada pagi itu sebelum kami menangkapnya pada 5.46 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Arnida berkata dalam operasi yang bermula pukul 9 pagi hingga 9.50 malam yang disertai enam pegawai itu, pihaknya menyasarkan 13 kawasan yang dikenal pasti di sekitar daerah Kuala Muda dan berjaya menahan 13 lelaki dan seorang wanita berumur 21 hingga 57 tahun.

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat AADK Kuala Muda dan hasil saringan air kencing yang dilakukan mendapati empat orang positif dadah jenis morfin manakala 10 lagi positif syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 yang membolehkan mereka menjalani program rawatan dan pemulihan dengan pihak AADK.

Tinggalkan komen anda