Bapa tunggal mengaku bersalah sembunyi wang


shadow

SEREMBAN: Seorang bapa tunggal dijatuhi hukuman denda RM22,500 oleh Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM16,000 milik bapa saudaranya, 11 tahun lalu.

Tertuduh, Rezwat Shahril Zainal Ariffin, 44, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan dua Majistret, V Vanita dan Mahyun Yusof.

Mengikut lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan Vanita, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menyembunyikan wang keseluruhan berjumlah RM10,500 yang diserahkan penama, Ibrahim Abd Ghani, 51, antara 17 Jun hingga 1 Julai 2009.

Kesalahan itu dilakukan di daerah ini di sebuah rumah dan restoran di Taman Pulai 3 dan Maybank Cawangan Rahang.

Berdasarkan tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Mahyun, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama membabitkan keseluruhan wang berjumlah RM5,500.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Rahang dan Senawang di sini pada 22 Jun dan 23 Jun 2009.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh dan Sharigfah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus.

Tertuduh yang diwakili peguam, R Kanapathy dan Noor Azizi Abdull Aziz merayu supaya diberikan hukuman denda minimum atas alasan perlu menanggung empat anaknya yang masih bersekolah selain kesalahan ini adalah kesalahan pertamanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM22,500 atau berdepan hukuman penjara lima hingga sembilan bulan jika gagal membayar denda itu.

Tinggalkan komen anda