POLIS menahan tujuh lelaki berusia antara 23 hingga 51 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap di sekitar daerah Kuala Muda pada 2 Januari hingga kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzly Abu Shah berkata seorang daripada suspek dipercayai ketua sebuah kumpulan kongsi gelap dan baharu dibebaskan dari penjara pada pertengahan tahun lepas atas kesalahan langgar syarat orang kena sekatan di Pahang.
Katanya, penahanan kesemua mereka bermula dengan kejadian kes curi motosikal di Flat Paya Nahu, di Sungai pada 7 malam, Rabu lepas apabila seorang suspek berusia 26 tahun didapati terlibat.
“Dalam kejadian itu, seorang remaja berusia 16 tahun cuba ditarik masuk ke dalam kereta oleh suspek, namun mangsa sempat melarikan diri dan suspek bertindak melarikan motosikal jenis Yamaha 125 milik mangsa.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis yang kemudiannya berjaya menahan suspek dan menemui motosikal tersebut di Taman Berlian Indah, di Sungai Petani kira-kira tujuh jam selepas kejadian,” katanya dalam sidang media di Sungai Petani, hari ini.
Katanya, suspek tersebut dipercayai bertindak sebagai ketua sebuah kumpulan kongsi gelap dan hasil soal siasat yang dijalankan, polis kemudian menahan lima lagi ahli kumpulan itu berusia 23 hingga 32 tahun di sekitar bandar ini, Sabtu lalu.
Seorang lagi suspek berusia 51 tahun ditahan 6 Januari.
Susulan itu, polis turut merampas dua pucuk pistol masing-masing jenis Beretta dan Revolver bersama 162 butir peluru.
Menurut Adzly, dengan penahanan kesemua suspek pihaknya percaya dapat menyelesaikan tiga kes samun, satu kes mendatangkan kecederaan dan satu kes kecurian motosikal yang berlaku di daerah Kuala Muda sejak November hingga awal tahun ini.
Katanya, kesemua suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah dan didapati positif dadah jenis syabu direman hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 395/397/379A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berasingan, Adzly berkata sepasangan suami isteri berusia 56 dan 57 tahun bersama anak lelaki mereka berusia dalam lingkungan 20an ditahan selepas didapati memiliki 206 gram ganja bernilai RM8,000 di sebuah rumah di Merbok, di Sungai Petani, kelmarin.
“Anak beranak itu ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama tujuh hari bermula semalam, kita turut merampas wang tunai sebanyak RM1,015 untuk siasatan,” katanya.
Tinggalkan komen anda