Warga emas ditahan ugut exco di Facebook


shadow

Polis menahan seorang lelaki warga emas kerana membuat kenyataan berbaur ugutan di Facebook terhadap seorang Exco kerajaan negeri Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu ditahan di Ipoh kira-kira pukul 6.30 petang semalam susulan satu laporan polis yang diterima Sabtu lepas.

Beliau berkata laporan polis mengenai ugutan terhadap Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri , Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dibuat seorang lelaki selepas terbaca komen daripada seorang netizen di Facebook, pada pukul 2.27 petang, pada hari kejadian.

“Suspek yang ditahan di Ipoh kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk siasatan lanjut bersama barang-barang rampasan termasuk telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik komen ugutan,” katanya dalam satu kenyataan di Teluk Intan, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata suspek direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata beliau juga telah membuat laporan di Balai Polis Parit Buntar pada Sabtu dan menegaskan ia diambil sebagai peringatan kepada semua pihak agar berhati-hati apabila membuat komen di media sosial.

– Bernama 

Tinggalkan komen anda