Pembelaan kemuka artikel blog didakwa tulisan CEO Cradle Fund


shadow

Pihak pembelaan bagi kes pembunuhan CEO Cradle Fund Nazrin Hassan hari ini mengemukakan beberapa artikel dalam blog yang didakwa ditulis Nazrin, kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguam mewakili tertuduh pertama kes itu, Samirah Muzaffar, Muhammad Shafee Abdullah berkata artikel yang diambil dari mimpipari.blogspot.com tersebut dipercayai luahan rasa Nazri terhadap abangnya, Dr Abdul Aziz Hassan, yang merupakan saksi ke-18 kes berkenaan.

Muhammad Shafee berkata antara kandungan artikel yang ditulis pada 2004 hingga 2007 itu, ialah luahan rasa kecewa Nazrin terhadap abangnya yang disifatkan sebagai hero dalam keluarga.

“Ibu meninggal dunia pada tahun ini (2004) dan setiap minggu sebelum meninggal, ibu bertanya mengenai bila hartanya akan dipulangkan abang.

“Malah, dua minggu sebelum meninggal dunia, dia mengungkit perkara itu namun dia akhirnya meninggal dunia tanpa hajatnya tertunai,” kata Mohamad Shafee, ketika membaca antara artikel yang terkandung dalam blog berkenaan di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib @ Hamid membantah artikel tersebut dibaca di mahkamah atas alasan ia tidak baik.

Namun, Muhammad Shafee menjelaskan beliau membaca artikel berkenaan bagi merujuk keterangan Abdul Aziz dalam mahkamah pada Selasa, bahawa hubungan beliau dan mangsa adalah baik, sedangkan ia sebaliknya.

Dalam keterangannya, Abdul Aziz memberitahu mahkamah, beliau menyifatkan dirinya seperti seorang bapa kepada Nazrin kerana bapa mereka telah meninggal dunia ketika masing-masing berusia 22 dan 12 tahun.

Abdul Aziz berkata mereka rapat walaupun jarang berjumpa kerana Nazrin sibuk dengan kerjaya selain adiknya itu seorang perahsia dan lebih suka bercerita masalah dengan rakan.

Balu Nazrin, Samirah, 44, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Bernama

Tinggalkan komen anda