Pelayan restoran ditipu ‘Datuk Koh’


shadow

TEMERLOH: Panik dikatakan terbabit dengan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah, pelayan restoran wanita di sini kerugian RM13,612 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis bergelar ‘Datuk’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 25 tahun menerima panggilan daripada suspek kononnya dari Mahkamah Johor.

“Suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM10,300 sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Sauzi’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Hasil siasatan mendapati, suspek mendakwa mangsa turut terbabit dengan aktiviti penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk Koh’ bagi menyelesaikan kes sebelum suspek meminta mangsa membuat pindahan semua wang ke akaunnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak RM13,000 ke dalam akaunnya sebelum menyerahkan kata laluan perbankan internet kepada suspek.

Katanya, selepas membuat pindahan ke dalam akaun seperti diarahkan, mangsa pulang ke rumah dan membuat semakan mendapati wang sudah berkurangan sebanyak RM13,612.69.

“Mangsa mendapati terdapat pemindahan ke dalam akaun milik orang lain dan baru menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini, semalam,” katanya sambil menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tinggalkan komen anda