Op Lestari 2 di Cameron Highlands dihentikan 3 hari


shadow

Tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla, Sungai Ichat di Cameron Highlands, dihentikan sementara selama tiga hari bermula semalam.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan memberhentikan Op Lestari 2 itu bagi membolehkan peneroka terbabit mengeluarkan peralatan pertanian mereka daripada tanah berkenaan.

“Ada permohonan daripada mereka (peneroka haram) yang terlibat supaya diberi peluang untuk mereka membuka dan menanggalkan sendiri peralatan di tanah-tanah haram ini.

“Tempoh tiga hari ini diberikan supaya barang-barang yang mereka letak di situ (kawasan operasi) tidak rosak dan mereka boleh jual semula dan sebagainya, Jadi kerajaan Negeri bersetujulah supaya hari Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak ada penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan disiarkan diblognya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Cek Sumbangan kepada 20 penerima berjumlah RM120,280 di Wisma Sri Pahang semalam.

Sementara itu, Harian Metro memetik Wan Rosdy sebagai berkata  operasi yang dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dengan dibantu beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata pihaknya tetap bertolak ansur dengan peneroka berkenaan walaupun mengikut undang-undang mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Op Lestari 2 yang bermula 16 Disember lalu bertujuan memulihkan sumber air mentah terutamanya Sungai Ichat yang tercemar teruk akibat penerokaan tanah secara haram bagi tujuan pertanian.

Keputusan mengadakan operasi itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail dan Wan Rosdy pada 9 Disember lalu.

Bagaimanapun penguatkuasaan menerima bantahan daripada beberapa pihak terutama MIC yang menegaskan kerajaan negeri perlu menyediakan tanah alternatif kepada pekebun berkenaan yang rata-rata terdiri daripada kaum India.

Tinggalkan komen anda