Lelaki pecah masuk asrama MRSM diberkas


shadow

POLIS berjaya memberkas seorang suspek lelaki berhubung kes menceroboh masuk asrama di tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri Perak dan menemukan semula 86 telefon bimbit dan enam komputer riba yang dipercayai dicuri daripada pelajar.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof  berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada kira-kira  4.06 pagi,13 Disember lepas di kawasan Baling, Kedah hasil maklumat dan risikan yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dikesan aktif melakukan aktiviti tersebut sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan menyasarkan MRSM Lenggong, Gerik; MRSM Pasir Salak, Kampung Gajah dan MRSM Felda Trolak dekat Tanjung Malim, dengan menceroboh masuk bangunan asrama ketika pelajar sedang tidur.

“Kejadian terbaru dilaporkan pada 23 November lalu membabitkan kehilangan 33 buah telefon bimbit milik pelajar MRSM Felda Trolak dan dalam kejadian kira-kira  4.56 pagi itu, dua blok asrama perempuan telah dipecah masuk oleh individu yang tidak dikenal pasti.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan pagar telah dipotong di belakang salah satu bangunan blok asrama berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata polis percaya suspek melakukan tinjauan sendiri terlebih dahulu dan bertindak menceroboh masuk sebaik sahaja kesemua lampu di blok asrama dipadam.

Beliau berkata suspek yang bekerja sendiri menyimpan kesemua hasil barangan yang dicurinya di rumahnya di sebuah kampung di Baling.

“Polis menemukan 86 buah telefon bimbit antaranya jenama iPhone, Samsung dan Huawei, enam buah komputer riba pelbagai jenama, lima kad pengenalan dipercayai milik pelajar, satu kad pelajar MRSM Pasir Salak dan satu tag nama.

“Kita turut menemukan beberapa peralatan bagi kegunaan penyelenggaraan telefon dan komputer antaranya pemutar skru dan pemotong wayar,” katanya.

Beliau berkata suspek yang mempunyai kepakaran membaiki telefon dan komputer mengaku telah menjual sebahagian komponen dalaman dan telefon yang dicuri selain turut mengaku menjalankan kegiatan itu bersendirian dengan menunggang motosikal dari Baling menggunakan aplikasi navigasi sebagai panduan jalan ke setiap lokasi.

Hasil semakan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan dia kini direman bagi membantu siasatan, katanya. 

Tinggalkan komen anda