Bukit Aman mahu sahkan akuan bersumpah Azilah


shadow

POLIS mahu mengesahkan terlebih dahulu akuan berkanun (SD) Azilah Hadri sebelum menentukan langkah seterusnya sama ada membuka semula atau tidak siasatan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Kita belum tengok lagi SD itu… kecuali kamu boleh bawa kepada kami,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamad kepada wartawan di Shah Alam petang ini.

“Kesahihan (SD) pun belum tahu,” tambahnya.

Beliau ditanya mengenai tindakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati membuat akuan bersumpah mendedahkan kes pembunuhan Altantuya.

Huzir ditanya apakah polis akan menyoal siasat Azilah dan memanggil juga bekas perdana menteri Najib Razak berhubung akuan bersumpah itu.

Azilah yang kini menunggu pelaksanaan hukuman mati di Penjara Kajang membuat akuan bersumpah itu dalam permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya, dan meminta kes dibicara semula.

Dalam menyokong permohonannya beliau mendakwa Najib dan pegawainya ketika itu Abdul Razak Baginda mengarahkan beliau membunuh Altantuya.

Beliau mendakwa Najib dan Razak menggambarkan Altantuya sebagai perisik asing Mongolia, yang mengancam keselamatan negara.

Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mengekalkan sabitan kes bunuh dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Azilah dan rakannya Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya.

Sirul melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya dan Azilah pada Ogos 2013, sebelum keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan. 

Tinggalkan komen anda