Bayi maut terjatuh dari tingkat lima bangunan


shadow

PENAMPANG: Seorang bayi perempuan berusia 19 bulan maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Jalan Bundusan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, mangsa dikejarkan ke Jesselton Medical Centre (JMC), Jalan Lintas, oleh ahli keluarganya tetapi disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati mangsa dibawa keluarganya untuk makan di sebuah restoran di tingkat lima bangunan berkenaan.

Beliau berkata, mangsa dikatakan bermain dengan abangnya di lorong jejantas yang masih dalam pembinaan menghubungkan bangunan bersebelahan.

“Ketika bermain dengan abangnya, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat lima bangunan itu. Susulan itu, mangsa dikejarkan ke JMC untuk mendapat rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas di JMC.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, setakat ini.

Tinggalkan komen anda