Bahana harta RM800 juta, ibu tunggal rugi RM380,000


shadow

JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal mengalami kerugian RM380,000 akibat diperdaya seorang lelaki yang dikenali Facebook sejak setahun lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Lee, 50, itu turut memanggil lelaki berkenaan sebagai suami walaupun tidak pernah bersua muka sejak mengenalinya melalui media sosial itu.

Episod derita wanita berkenaan bermula apabila dia menerima satu panggilan yang mahu memintanya menjelaskan satu bayaran kerana barangan dikirim kenalan Facebooknya itu telah disekat kastam pada 6 November tahun lalu.

“Pada awal perkenalan kami, suami ada memaklumkan yang dia mahu memberi saya barangan seperti cincin, gelang, baju dalam, berlian, jam tangan dan dua telefon bimbit jenis Iphone yang keseluruhannya bernilai RM800 juta.

“Beberapa hari selepas itu, saya menerima panggilan daripada seorang ejen kastam yang memaklumkan barangan tersebut telah ditahan dan hanya boleh diserahkan jika saya membayar wang sebanyak RM5,000.

“Saya bersetuju dan kemudian membuat pembayaran melalui satu nombor akaun yang diberikan,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang di sini hari ini.

Menurut Lee, dia kemudiannya dihubungi pemanggil sama berulang kali yang turut mendakwa telah menahan ‘suaminya’ itu dan hanya akan membebaskannya selepas menerima bayaran tambahan.

Lee berkata, lebih daripada 10 transaksi pemindahan wang membabitkan pelbagai jenis bank dan pembayaran terakhir bernilai RM95,000 empat bulan lalu.

Lee yang tidak bekerja juga memberitahu, kesemua wang yang digunakannya itu adalah hasil pinjaman daripada adik-beradik dan juga penjualan rumahnya di Pasir Gudang.

“Saya dapatkan wang dengan menjual rumah yang berharga RM230,000 dan meminjam wang lain daripada kakak sebanyak RM100,000 lagi untuk membebaskan ‘suami’ saya seperti diminta seorang lelaki daripada panggilan itu.

“Sekarang saya sudah tidak mempunyai wang lain dan kini juga terpaksa tinggal bersama adik lelaki saya di rumahnya,” katanya yang juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 12 tahun.

Sementara itu, ADUN Stulang, Andrew Chen berkata, pihaknya telah membawa wanita berkenaan untuk membuat laporan polis kerana percaya dia telah ditipu sindiket penipuan dalam talian.

“Saya berpendapat ini adalah satu kes yang serius dan membabitkan kerugian wang tunai bernilai hampir RM400,000.

“Saya harap perkara ini boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat lain selain tidak mudah percaya dengan orang yang baru dikenali. Saya juga kasihan dengan wanita ini kerana dia masih lagi menganggap lelaki ini benar-benar wujud,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda