5 termasuk suami isteri ditahan bersama dadah RM355,710


shadow

POLIS Pulau Pinang berjaya membongkar makmal memproses dadah, selepas menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM355,710, dalam serbuan di sebuah rumah di Kepala Batas pada Rabu (4 Disember).

Ketua Polis Pulau Pinang T. Narenasagaran berkata dalam serbuan pukul 5 petang itu, polis turut merampas 121 butir peluru hidup di rumah teres setingkat itu, yang disewa pasangan suami isteri berusia 38 dan 40 tahun berkenaan.

“Polis menjalankan risikan dan intipan sejak dua minggu lepas, sebelum menyerbu rumah itu dan semasa serbuan terdapat empat lelaki serta seorang wanita berusia 22 hingga 49 tahun. Pemeriksaan lanjut telah berjaya membongkar makmal memproses dadah jenis heroin yang dijalankan di situ.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 13,544 gram (g) heroin, 1,540g heroin base, 43,000g kafein, 400 biji pil eramin 5 dan pelbagai peralatan memproses heroin antaranya oven, pewarna makanan serta cecair kimia. Semuanya bernilai RM355,710,” katanya pada sidang media, di George Town hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas 74 butir peluru hidup jenis 9mm, 32 butir peluru jenis 7.65mm serta 15 butir peluru jenis .38spl, dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut hubung kait semua peluru itu dengan sindiket tersebut sama ada ia digunakan mereka atau dijual kepada pihak lain.

Narenasagaran berkata siasatan awal polis mendapati kesemua mereka yang ditahan itu, mempunyai kepakaran untuk memasak dan memproses dadah selepas belajar membuat heroin menerusi YouTube.

“Selain memasak dan memproses dadah sendiri, mereka juga mengedar sendiri bahan terlarang itu kepada pelanggan tetap di sekitar negeri ini dan Kedah. Sindiket tersebut dipercayai telah menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lepas,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM3,912, dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Proton Saga, serta motosikal jenis Benelli dan Honda Dash, yang kesemuanya bernilai RM57,992.81.

Tiga daripada suspek bekerja sebagai penyelenggara penyaman udara serta pekerja pembersihan, dan ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah, katanya.

“Lima individu itu kini direman selama tujuh hari dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. Semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 81,600 penagih,” katanya.

Tinggalkan komen anda