3 pencuri warga Peru diberkas


shadow

POLIS berjaya menyelesaikan 19 kes kecurian beg pelancong asing di Putrajaya dan Kuala Lumpur, dengan tertangkapnya tiga warga Peru termasuk seorang wanita  yang menjadi anggota Geng Latin Putra.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata kesemua suspek yang berusia 35 hingga 41 tahun itu ditangkap pada 11 dan 15 Disember lepas di dua lokasi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata penahanan ketiga-tiga suspek itu susulan laporan yang dibuat seorang pelancong wanita warga China yang berusia 51 tahun, pada 4 Disember lepas di Putrajaya yang mendakwa beg galasnya dicuri ketika berada di Bulatan Dataran Putra kira-kira pukul 3.15 petang hari yang sama.

Ketika kejadian, mangsa sedang mengambil gambar di kawasan sekitar dan selesai mengambil gambar dia ternampak seorang lelaki telah mengambil begnya lalu melarikan diri.

Beliau berkata hasil maklumat dan risikan, pada 11 Disember lepas kira-kira pukul 9.30 malam, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Putrajaya telah menangkap seorang lelaki warganegara Peru berumur 35 tahun dan seorang perempuan warganegara Peru berumur 41 tahun di Jalan Mega Mendung, Taman United, Brickfields, Kuala Lumpur.

“Semasa tangkapan dibuat, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios yang mana hasil semakan mendapati kereta tersebut merupakan kereta sewa yang digunakan untuk melakukan jenayah.

“Pada Ahad lepas kira-kira pukul 2.30 pagi, seorang lagi suspek iaitu lelaki warganegara Peru berusia 36 tahun  ditahan di Puchong, Kuala Lumpur dan dalam serbuan tersebut pihak polis berjaya merampas sejumlah barang kes dipercayai hasil kegiatan curi yang dilakukan terhadap pelancong asing yang bernilai kira-kira RM80,000,” katanya.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas ialah 11 beg tangan perempuan, lapan beg galas, 13 beg duit, lapan topi, empat pasang kasut, sembilan power bank, enam jam tangan, tiga telefon bimbit, tiga beg kulit saiz besar, satu set beg kamera bersama kamera digital jenama Nikon, lima set kaca mata, tiga helai pakaian lelaki, pelbagai barangan kemas, dan wang tunai RM1,600.

Hasil siasatan mendapati kereta dan pakaian yang digunakan oleh salah seorang suspek semasa kejadian di sini telah dibuat pengecaman dan semakan terhadap pasport kesemua saspek mendapati cop masuk, iaitu yang bertarikh 19 November lepas, adalah tidak sah.

Kesemua suspek akan dituduh pada Khamis ini di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Tinggalkan komen anda