Sindiket penipuan dalam talian beroperasi di Sabah tumpas


shadow

KOTA KINABALU – Satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Sabah selepas menahan 104 warga China yang dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan di sini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pusat membeli-belah dan dua unit kondominium di Jalan Universiti Malaysia Sabah pada jam 4 petang.

“Semasa serbuan dijalankan kesemua warga China itu sedang menjalankan aktiviti berkenaan yang dipercayai sudah beroperasi sejak dua bulan lepas.

“Serbuan yang dijalankan hasil daripada maklumat awam serta intipan itu melibatkan 41 anggota Jabatan Imigresen. Sebanyak 916 unit telefon bimbit, 64 komputer riba dan 28 unit komputer peribadi dirampas dalam serbuan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berumur 18 hingga 39 tahun dan 10 daripadanya adalah wanita.

Muhamad Sade berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah menawarkan mangsa keuntungan yang tinggi dan pantas, kesemua suspek yang bertindak selaku operator itu pula akan menghantar satu kod kepada pelanggan dari laman sesawang tertentu yang aplikasinya adalah dalam bahasa Cina.

“Kesemua yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial namun 69 orang daripadanya gagal menunjukkan pasport dan dokumen pengenalan diri dan sehingga kini juga tiada pihak yang tampil mengemukakan dokumen mereka,” katanya.

Beliau berkata, semua barang rampasan disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA), dan satu laporan mengenai serbuan itu akan dibuat untuk dihantar kepada kedutaan China.

Ditanya sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan kes yang sama di Selangor baru-baru ini, Muhamad Sade berkata, pihaknya masih menyiasat mengenai perkara itu.

“Namun apa yang kita lihat modus operandi mereka adalah sama dan kesemua yang ditahan juga adalah warganegara China,” katanya. – Bernama

Tinggalkan komen anda