SINDIKET penipuan melalui panggilan telefon atau ‘Macau Scam’ ternyata tidak memilih mangsa dan ia terbukti apabila pegawai polis turut cuba ditipu dengan taktik memperdaya mangsa mempunyai saman trafik.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, mendedahkan dirinya sendiri cuba ditipu oleh ahli sindiket berkenaan hari ini melalui panggilan telefon pada 1.30 tengah hari ini yang mengatakan dia mempunyai saman.
Menurutnya, seorang wanita menghubunginya dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Tadbir Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Bahagian Semakan Saman dan memintanya memberikan nombor kad pengenalan untuk semakan saman.
“Saya memang menyedari ia adalah cubaan menipu dan bertindak merakamkan perbualan itu untuk tujuan tindakan lanjut.
“Saya berkongsi kes ini untuk memberi peringatan kepada orang ramai bahawa sindiket penipuan ini tidak mengira mangsa dan akan cuba memperdaya dengan pelbagai helah,” katanya dalam sidang media di Ipoh, hari ini.
A Asmadi berkata, wanita terbabit cuba mendesaknya untuk memberikan nombor kad pengenalan dan akhirnya dia mendedahkan bahawa dia adalah Ketua Polis Daerah dan membuatkan wanita terbabit terkejut sebelum memutuskan panggilan.
Menurutnya, semakan berdasarkan nombor telefon digunakan wanita terbabit pihaknya mendapati panggilan itu dibuat dari Kunak, Sabah dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung sindiket penipuan berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada, begitu juga golongan profesional supaya tidak menjadi mangsa penipuan dan untuk makluman pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon, terutama membabitkan pendedahan sebarang data peribadi seseorang,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan statistik sepanjang Januari hingga Oktober tahun lalu sebanyak 122 kertas siasatan dibuka membabitkan kes penipuan melalui panggilan telefon ini dan pada tahun ini bagi tempoh sama 62 kertas siasatan sudah dibuka serta masih banyak lagi laporan yang diterima dan sedang disiasat.
myMetro
Tinggalkan komen anda