Penjual kereta didakwa hantar gambar lucah kepada bekas kekasih


shadow

JOHOR BAHRU – Seorang penjual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan menghantar gambar lucah kepada bekas kekasihnya dua tahun lalu.

Mohamad Said Zakariah Kamal Admi, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.

Menurut pertuduhan, Mohamad Said Zakariah didakwa menggunakan aplikasi WhatsApp untuk memulakan penghantaran komunikasi lucah ke nombor telefon wanita berkenaan yang ketika itu berusia 23 tahun.

Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan berkenaan sebanyak 11 kali iaitu antara jam 9.06 malam hingga 9.07 malam di Jalan Padi Emas 5/3 Bandar Baru Uda di sini pada 29 Julai 2017 lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 23 Disember depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan.

Aizatul Akmal juga memerintahkan jaminan terhadap tertuduh ditarik balik jika dia mengganggu wanita berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Said Zakariah juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada wanita itu antara jam 9.06 malam hingga 9.16 malam pada tarikh dan lokasi sama.

Majistret Siti Hajar Ali kemudiannya menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes selain membenarkan Mohamad Said Zakariah diikat jamin dengan jumlah sebanyak RM4,000.

Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien dan peguam bela, Farhan Maaruf.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda