Makmal proses heroin diserbu


shadow

IPOH – Lima individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat sindiket memproses dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Klebang Jumaat lalu.

Ketika serbuan pada jam 6.25 petang hingga 7.10 malam itu, polis merampas 109.8 kilogram (kg) dadah bernilai RM603,165 bersama peralatan serta bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd khalil Kader Mohd berkata, rampasan membabitkan 43.5kg heroin bernilai RM579,960 dan kafein bernilai RM23,215.

“Kita juga menyita wang tunai, jam tangan, barang kemas dan kereta dengan nilai keseluruhan RM379,865.

“Kesemua suspek berusia di antara 24 hingga 50 tahun. Ketika serbuan, mereka didapati sedang memasak bahan tersebut dan polis mengadakan intipan selama tiga minggu sebelum serbuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Pelbagai peralatan memproses dadah dirampas hasil serbuan di sebuah rumah di Klebang, Jumaat lalu.
Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Mohd khalil berkata, dua suspek termasuk wanita terbabit didapati positif dadah jenis opiat manakala dua suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini sudah beroperasi lebih tiga minggu dan kesemua dadah yang diproses untuk edaran pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985).

Serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Perak.

– Sinar Harian

Tinggalkan komen anda