Kakitangan bank didakwa tipu pembelian pelaburan SSP


shadow

KUALA TERENGGANU – Kakitangan bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dan memperdayakan pembelian pelaburan Sijil Simpanan Premium (SSP) sebuah bank bernilai RM50,000 dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Sufian Talib, 34, dari Kampung Batu Hampar di sini mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nooriah Osman ke atas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan pertama tertuduh didakwa menggunakan resit rasmi palsu pembelian SSP dari sebuah bank bertarikh 28 Februari 2017 di sebuah bank di Jalan Kota Lama kira-kira jam 3 petang pada 29 Februari 2017.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Berdasarkan pertuduhan kedua, Mohd Sufian didakwa memperdaya mangsa, Muhammad Zamli Idris, 45, dengan menawarkan pembelian pelaburan SSP sebuah bank sebanyak RM50,000 dan akan mendapat insentif sebanyak RM3,000 selepas 65 hari.

Pertuduhan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM50,000 di lokasi sama kira-kira jam 4 petang pada 28 Februari 2017 itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat dan denda.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Holy Issac.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda