Jumpa isteri tak bernyawa dalam kereta


shadow

LULUH hati suami apabila menemui isterinya sudah tidak bernyawa di dalam kereta di tempat letak kereta Hospital Umum Sarawak (HUS), di Kuching, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, lelaki berusia 45 tahun itu bertindak memecahkan cermin kereta selepas isterinya yang terbaring di dalam kereta tidak memberi maklum balas apabila dipanggil.

“Selepas berjaya memecahkan cermin kereta, lelaki terbabit terhidu bau busuk sebelum menghubungi polis.

“Wanita itu kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HUS yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sebelum itu, lelaki terbabit menemui kereta digunakan isterinya yang berusia 43 tahun, pada 9.15 malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa keluar dari rumahnya pada Ahad lalu. Mangsa dan suaminya sudah berkahwin lebih 20 tahun dan mempunyai dua anak.

“Pemeriksaan di lokasi menjumpai dua keping nota tulisan tangan berbahasa Cina di dalam beg tangan mangsa.

“Hasil terjemahan oleh suami dan anaknya, nota itu lebih kepada luahan perasaan berkenaan masalah yang dihadapi serta tekanan dalam kehidupan,” katanya.

Awang Din berkata, tiada tanda yang mencurigakan pada badan mangsa dan pereputan awal berlaku serta mangsa dipercayai sudah meninggal lebih 24 jam.

“Mayat mangsa dihantar ke HUS untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda