Anggota tentera maut nahas jalan raya


shadow

KUANTAN – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer 26 Jalan Temerloh-Jerantut, Temerloh lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.51 petang itu, mangsa, Muhammad Fahmi Muhammad Som, 22, beralamat di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu dan kenderaan lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu gagal dikenalpasti.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Jerantut.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu berlanggar dengan sebuah kenderaan lain (belum dikenalpasti) yang dipercayai berada di hadapannya berdasarkan kerosakan motosikal di bahagian depan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke HoSHAS (Hospital Sultan Haji Ahmad Shah) Temerloh untuk proses bedah siasat,” katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda