Seorang maut, lima parah dirempuh Range Rover


shadow

SUBANG JAYA – Seorang wanita maut manakala lima lagi termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kewajipan di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kemalangan melibatkan tiga kenderaan pada jam 10.01 malam itu dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah pacuan empat roda berusia 20 tahun dikatakan cuba mengelak pelintas jalan kaki.

Menurutnya, penuntut kolej itu dikatakan dari arah USJ 9 (Taipan) menghala ke arah Subang Kelana.

“Apabila sampai di lampu isyarat Damen, pemandu itu hilang kawalan dipercayai mengelak individu yang sedang melintas jalan lalu merempuh dua motosikal yang berhenti di lampu isyarat merah di Persiaran Murni.

“Pemandu turut merempuh seorang pejalan kaki iaitu seorang lelaki warga China berusia 24 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, pembonceng motosikal jenis Honda Wave 110 iaitu seorang wanita warga Myanmar maut di tempat kejadian manakala dua penunggang dan dua pembonceng lain cedera parah.

“Penunggang motosikal berusia 45 tahun yang juga suami kepada mangsa maut bersama anak perempuannya berusia 3 tahun cedera di bahagian kepala dan badan.

“Penunggang motosikal Honda Future 110 berusia 46 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka manakala pemboncengnya seorang wanita berusia 45 tahun cedera di bahagian kepala,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda